Kalau arif tentang teori, belum tentu ia mahir tentang praktikal. Begitulah tentang penyembelihan kambing mahupun lembu. Bukan calang-calang orang boleh menguruskan proses penyembelihan lembu. Ia juga perlu mengambil kursus pentauliahan yang mana ia merupakan antara prosedur wajib di negara ini. Namun tahukah kita, amat jarang sekali wanita berkecimpung dalam bidang ini. Mari kita kenali tentang seorang wanita yang dikenali sebagai Fatonah.
RAUT wajah Siti Fatonah Arbain nampak tenang ketika berdepan seekor kambing yang telah direbahkan di atas rusuk kiri. Sambil menggenggam sebilah pisau khas yang diletakkan di leher haiwan tersebut, wanita berusia 43 tahun itu sempat membetulkan posisi tubuhnya.
Seboleh-bolehnya dia mahu lekas melakukan penyembelihan tersebut kerana enggan memberi tekanan kepada kambing baka import daripada jenis ferral itu.
Sejurus membaca kalimah syahadah, Fatonah memutuskan dua urat leher kambing itu dari kiri ke kanan dengan sepenuh kudrat wanitanya. Beberapa orang pekerja membantunya memegang haiwan itu agar tidak meronta-ronta.
“Kita seharusnya segerakan proses penyembelihan selepas haiwan ditumbangkan kerana tidak mahu berterusan memberi tekanan dan menyeksanya.
“Kita disunatkan menggunakan pisau sembelih khas yang tajam bagi mengurangkan kesakitan haiwan itu semasa disembelih,” kata Fatonah sejurus melakukan proses tersebut yang dilihat begitu mudah.
Fatonah mengikuti kursus penyembelihan haiwan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2005 sekali gus mendapat pentauliahan daripada jabatan agama itu. Dia merupakan satu-satunya peserta wanita dalam kalangan 45 peserta dalam kursus selama empat hari itu.
FATONAH merupakan segelintir wanita di negara ini yang memiliki sijil pentauliahan untuk menyembelih haiwan.
Menganggap tugasan tersebut sebagai tuntutan fardu kifayah, Fatonah bagaimanapun enggan mengambil alih tugas lelaki sebagai tukang sembelih. Dia sebaliknya mempersiapkan ilmu tersebut untuk kegunaan waktu darurat.
“Saya belajar cara menyembelih disebabkan tanggungjawab yang harus dipikul. Apatah lagi saya dan suami merupakan pengusaha ladang ternakan haiwan. Jadi ilmu berkaitan seharusnya saya tahu.
“Selalunya tugas menyembelih ini saya berikan kepada suami. Tetapi saya sentiasa bersedia untuk menyembelih terutamanya semasa ketiadaan suami atau berdepan dengan haiwan yang sedang nazak akibat masalah kesihatan.
“Saya sebenarnya sudah jarang menyembelih kerana melakukan tugasan lain di ladang ini,” katanya.
Jelas Fatonah, seorang wanita seharusnya memiliki ilmu tersebut sekurang-kurangnya sebagai persediaan untuk kegunaan ketika memerlukannya.
No comments:
Post a Comment